BB2008-nabilah

Friday, July 25, 2008

Chapteh

Chapteh. Pernahkah anda bermain chapteh bersama rakan-rakan anda? Kepada sesiapa yang tidak tahu ataupun tidak pernah mendengar permainan ini, saya akan menerangkan tentang permainan ini.

Chapteh sering dimainkan di luar rumah oleh kanak-kanak lelaki seramai dua atau lebih. Jika terdapat ramai yang bermain, beberapa orang pemain boleh dibentuk menjadi satu kumpulan. Permainan ini adalah seperti permainan sepak raga, tetapi bola yang digunakan adalah dari bulu ayam yang telah dibentuk seperti sejambak bunga.

Beberapa bahan asas diperlukan bagi membuat bola chapteh ini. Beberapa helai bulu ayam yang terdapat pada ekor atau kepak ayam (tidak kurang dari tiga helai). Sebatang paku sederhana besar, kepingan tiub tayar yang telah dibentuk bulat berukuran antara 4sm. garispusat dan getah skrap atau getah gelang sebagai pengikat.

Beberapa keping getah tiub yang telah dibentuk bulat hendaklah dicucuk paku menembusi ditengah-tengahnya. Lima helai bulu ayam sama panjang dilekatkan disekeliling paku tadi dan diikat dengan getah sekrap atau getah gelang dengan kemas. Jika untuk mendapatkan kekemasan bola tersebut sejenis gam yang kuat boleh digunakan sebelum ikatan dibuat.

Sebelum permainan dimulakan, undian dijalankan terlebih dahulu bagi menentukan giliran. Undian secara lai lai li tam plong untuk semua pemain bagi menentukan siapa yang perlu memulakan terlebih dahulu mengikut gilirannya. Penentuan mata samada jumlah timbangan terbanyak atau penetapan jumlah mata tertentu juga harus dipersetujui terlebih dahulu.

Pemain disyaratkan menimbang bola chapteh tersebut dengan menggunakan tepi tumit kaki sahaja atau juga dengan lutut. Sepakan tidak dibenarkan. Jika dilakukan oleh pemain, ia dikira mati dan giliran pemain seterusnya mengambil alih pula. Permainan juga dikira mati sekiranya bola jatuh ke tanah.

Mata dikira dengan cara pemain menimbang bola tanpa henti atau mati dengan seberapa banyak timbangan yang dapat dilakukan. Pemain yang mendapat mata terendah jumlah timbangan dikira kalah, dan ia akan dikenakan denda. Pemain yang kalah dikehendaki melambungkan bola kepada pemenang, dan pemenang pula mestilah menimbang bola sebanyak tiga kali. Sekiranya pemenang gagal berbuat demikian, maka denda terhadap pemain yang kalah akan dikira tamat.

Pusingan seterusnya boleh dilakukan beberapa kali, pemain yang memenangi disetiap pusingan atau jumlah kemenangan banyak kali dan melebihi dari yang lainnya dikira juara.

Anda sudah pun tahu bagaimana mahu membuat chapteh dan bermainnya. Inginkah anda mencuba bermain chapteh bersama rakan-rakan anda?

Cari Cucu

Saya rasa sesetengah anda mungkin pernah mendengar permainan Cari Cucu. Pernahkah anda ibu atau nenek anda menceritakan tentang permainan ini. Pada anda yang tidak pernah mendengar permainan ini, saya akan menerangkan bagaimana anda bermain Cari Cucu.

Permainan Mencari Cucu merupakan permainan tradisional yang dimainkan oleh kanak-kanak diluar rumah. Ianya dimainkan oleh beberapa orang dengan jumlah yang ramai. Halaman rumah atau tempat lapang merupakan gelanggang yang sering digemari oleh mereka. Didalam permainan ini terdapat dua buah lagu khas yang didendangkan. Sehelai sapu tangan atau kain untuk menutup mata dan sebatang kayu tongkat diperlukan sebagai alat.

Sebelum permainan dimulakan seorang dari mereka haruslah menjadi nenek. Bagi menentukan nenek maka undian secara lai lai li tam plong perlu dijalankan. Siapa dikalangan mereka yang kalah dalam undian tersebut maka akan ditutup matanya dengan sapu tangan atau kain untuk dijadikan nenek. Sebatang tongkat diberikan untuk dipegang dan berperlakuan seperti nenek tua yang buta.

Cara bermain permainan ini ialah kesemua pemain perlu membuat satu bulatan mengelilingi nenek dengan berpegangan tangan diantara satu sama lain. Sebuah dendangan dinyanyikan oleh cucu secara beramai-ramai.

Nenek, nenek,
si bongkok tiga.
Siang mengantuk,
malam berjaga.
Mencari cucu
dimana berada.
Nenek ku kahwin
dengan anak raja.

Ketika cucu bernyanyi berpusing-pusing mengelilingi nenek, maka perlakonan nenek seperti orang buta terbongkok-bongkok dengan menggunakan tongkat mencari jalan.

Setelah cucu tamat mendendangkan nyanyian, maka nenek pula mengambil giliran mendendangkan nyanyiannya.

Cucu, cucu
tak dapat lari.
Nenek tua
banyak sakti.
Sekarang nenek
nak cari ganti.
Siapa yang kena,
dia yang jadi.

Setelah selesai dendangan nenek menyanyi, cucu duduk mencangkung mendiamkan diri dengan harapan nenek tidak mengetahui kedudukan mereka. Dengan menggunakan tongkat nenek mencari-cari cucu yang mendiamkan diri di sekelilingnya. Setelah berjaya menangkap seorang cucu nenek perlu meneka nama pemain tersebut dengan betul.

Sekiranya tekaan nenek itu betul maka pemain tersebut akan menjadi nenek menggantikan tempatnya. Seandainya tekaan itu tidak tepat maka watak nenek masih menjadi miliknya dan permainan diteruskan.

Setelah anda membaca entri saya mengenai permainan Cari Cucu, inginkah anda mencuba permainan ini?

Sunday, July 20, 2008

Teng Teng

Teng Teng. Pernahkah anda bermain teng teng? Saya pernah bermain teng teng semasa saya berada di sekolah rendah. Saya akan menerangkan kepada anda bagaimana caranya bermain teng teng kepada sesiapa yang tidak tahu permainan teng teng.

Kanak-kanak perempuan sering bermain permainan ini daripada kanak-kanak lelaki. Ini mungkin disebabkan permainan yang tidak begitu lasak serta tidak memerlukan tenaga yang banyak. Di kampung-kampung, gelanggang di buat dengan mengoreskan garisan di atas tanah sahaja, tetapi lain keadaannya pula dengan kanak-kanak yang berada di kawasan taman perumahan atau dikawasan pekan yang tiada halaman bertanah. Mereka akan menggunakan kapur tulis tepung atau apa sahaja yang dapat dilukiskan di atas jalan bertar.

Teng teng dimainkan oleh sekumpulan kanak-kanak terdiri dari dua hingga empat orang setiap gelanggang. Tiada peraturan tetap dengan jumlah pemain bagi setiap gelanggang. Gelanggang teng teng hanya dilukiskan petak-petak di atas tanah sahaja. Terdapat sembilan petak-petak kosong bagi satu gelanggang. Permainan dijalankan mengikut urutan. Objek berbentuk leper sebesar separuh tapak tangan seperti pecahan pinggan, kepingan besi, dan batu yang leper digunakan sebagai petanda bagi para pemain untuk menggerakkan kedudukan mereka di petak-petak gelanggang.

Sebelum permainan dimulakan, undian dijalankan bagi menentukan pemain yang mana harus memulakan permainan terlebih dahulu. Bagi memulakan permainan, pemain hendaklah mencampakkan objek ke dalam petak pertama dengan cara membelakangkan petak. Jika objek tidak masuk ke dalam petak yang ditentukan atau terkeluar ia di anggap mati dan hilang giliran. Pemain lain mengambil giliran pula.

Pemain dikehendaki melompat kedalam kesemua petak dengan sebelah kaki, kecuali di petak sembilan dengan kedua belah kaki. Tetapi bagi pemain yang baru sahaja memulakan permainan dimana objek berada di petak pertama, maka pemain hendaklah melompat terus ke petak ketiga, tanpa memijak di petak kedua. Seandainya pemain terpijak garisan, ia dianggap mati dan giliran pemain lain mengambil alih permainan.

Setiap pemain tidak dibenarkan memijak petak dimana objek berada di dalamnya, sama ada kepunyaan sendiri atau pihak lawan. Jika ini berlaku ia dikira mati. Giliran pemain seterusnya mengambil alih permainan.

Sebelum pemain membina rumah, pemain harus berdiri membelakangkan kesemua petak di garisan permulaan dan mencampakkan ke dalam mana-mana petak gelanggang dan disitulah kedudukan rumahnya. Sekiranya objek jatuh terkena garisan atau terkeluar maka ia dikira mati. Setiap pemain hendaklah memijak dengan kedua belah kaki di petak rumah dan pemain lain tidak dibenarkan berbuat demikian. Sekiranya pemain lain memijaknya atau tuan rumah lupa memijak dengan kedua belah kakinya ia dikira mati.

Sekarang anda sudah pun tahu bagimana caranya bermain teng teng. Inginkah anda mencuba bermain teng teng bersama rakan-rakan anda?

Sepak Raga(Sepak Takraw)

Sepak raga ataupun dikenali sebagai sepak takraw. Saya pasti ramai budak lelaki gemar bermain sepak takraw. Tetapi pernahkah terlintas di fikiran anda bagaimana sepak raga ini wujud? Permainan sepak raga wujud sejak 600 tahun lalu. Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, golongan bangsawan dan juga rakyat jelata menggemari permainan ini. Menurut sejarah Melayu, Raja Muhammad, putera Sultan Mansor Shah Muhammad, tertanggal tanjaknya akibat terkena bola raga tendangan Tun Besar.

Bola sepak raga diperbuat daripada bilah-bilah rotan yang dianyam bulat seperti raga sebesar isi buah kelapa. Saya pasti kebanyakan budak-budak lelaki hari ini tahu bagaimana caranya untuk bermain sepak takraw. Saya akan menerangkan kepada sesiapa yang tidak tahu bagaimana caranya bermain sepak raga(sepak takraw).

Dalam sepak raga. beberapa pemain berdiri dan membentuk satu bulatan. Permainan ini dimulakan dengan salah seorang pemain melambung bola kepada rakannya dengan tangan. Rakannya itu akan menimbang bola itu dengan kakinya sekali atau beberapa kali, sebelum menendangnya ke arah pemain lain. Pemain-pemain yang membentuk bulatan itu mestilah bergilir-gilir menimbang bola itu dan mengawalnya supaya tidak jatuh ke bumi. Jika bola itu jatuh, permainan dalam pusingan tersebut ditamatkan.

Permainan ini memerlukan ketangkasan dan kecekapan fizikal serta ketajaman mata untuk mengukur pergerakan. Matlamat setiap pemain ialah memantapkan kemahiran mereka menerima hantaran bola raga dan menimbangnya dengan selesa selama yang mungkin. Jangka masa permainan tidak ditentukan kecuali dalam pertandingan yang lazimnya dianjurkan sebagai acara berpasukan. Pasukan yang berjaya membuat timangan paling banyak dalam suatu tempoh yang ditetapkan, dikira menang.

Pada masa ini sepak raga tiada lagi dimainkan, ianya telah ditukar dengan nama kepada sepak takraw. Sepak takraw mengadukan dua pasukan yang dipisahkan oleh jaring. Pasukan sepak takraw terdiri daripada tiga pemain. Pemain pertama ialah 'Tekong'. Tekong melakukan sepak mula dan mengawal bahagian belakang gelanggang. Pemain kedua dinamakan apit kiri dan pemain ketiga dinamakan apit kanan. Apit kiri dan apit kanan mengawal bahagian hadapan gelanggang dan memikul tugas utama mematikan bola di gelanggang lawan.

Sekarang anda sudah tahu bilakah sepak raga ini wujud. Adakah anda ingin mengajar saya bagaimana caranya bermain sepak raga(sepak takraw)?


Wau

Hari ini saya akan menulis tentang permainan tradisional Melayu kita iaitu wau. Pernahkah anda mendengar permainan ini ataupun melihatnya? Wau ataupun dikenali sebagai layang-layang dimainkan oleh kalangan rakyat biasa ataupun golongan istana. Sejak zaman-berzaman, sekitar kurun kelima belas, wau telah dimainkan oleh orang Melayu. Mereka perrcaya wau ada kaitan di antara semangat angin dan langit.

Berbagai jenis dan bentuk wau telah dicipta. Antaranya ialah wau burung, wau pari, wau katak, wau merak, wau kucing dan yang digemari oleh orang Melayu ialah wau bulan. Kelantan dan Terengganu maih mengekalkan tradisi pembuatan wau yang menarik. Selain dijadikan sebagai permainan, ianya juga dijadikan sebagai hasil kraftangan dan hiasan dinding.

Pembuatan sesebuah wau agak rumit dan memakan masa, dari kerja-kerja meraut buluh untuk dijadikan rangka, mengimbang stabilkan kepak sehingga melekatkan kertas pada rangka wau tersebut mengambil masa dua minggu untuk siap. Rangka buluh tulang belakang wau lebih besar daripada kepaknya, kemudian diikat dengan menggunakan benang mengikut bentuk serta jenisnya.

Rangka yang telah disiapkan akan ditampal dengan tiga lapis kertas nipis dan lutsinar dengan berlainan warna. Lapisan pertama menggunakan kertas berkilat. Lapisan kedua menggunakan warna yang berbeza dan bercorak awan larat iaitu bercorak pucuk rebung atau bunga cengkih yang telah ditebuk. Pada lapisan ketiga pula, corak berlainan yang telah ditebuk ditampalkan.

Di bahagian kepala atau muncungnya serta dihujung kiri dan kanan kepak, akan dihiasi dengan rambu-rambu halus yang berwarna warni menambah cantik lagi rupanya. Busul akan diregangkan di bahagian belakang tengkuk wau, agar ianya mengeluarkan bunyi dengung apabila diterbangkan diudara. Busul diperbuat dari daun rembia atau mengkuang yang telah direndam dan dilurut lalu dibiarkan kering. Ia berbentuk seperti alat memanah. Tali teraju diikatkan di antara bahu kepak dan tulang belakang sebelah bawah wau bagi mengimbangi wau.

Untuk bermain wau, dua orang pemain harus bermain wau. Seorang akan memegang wau dan seorang lagi yang dipanggil juru anjung yang mememgang tali. Apabila angin bertiup, maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan menghulur dan menarik tali sehingga wau tersebut tinggi di udara. Kilauan cahaya matahari akan menambahkan lagi kecantikan wau yang dihias dengan berwarna-warni.

Di masa kini, walaupun wau masih mendapat tempat dikalangan masyarakat Melayu, layang-layang juga telah mendapat perhatian oleh masyarakat Melayu dan juga antarabangsa. Pelbagai bentuk dan corak layang-layang telah dicipta. Jikalau anda mahu melihat layang-layang, anda boleh pergi ke negeri Malaysia kerana di sana ada pertunjukan wau dan layang-layang apabila mereka menyambut sesuatu perayaan ataupun mengadakan wau antarabangsa.

Pernahkah anda mencuba bermain layang-layang? Saya tidak pernah mencuba bermain layang-layang atau wau tetapi saya ingin mencuba bermain. Jikalau anda mahu bermain layang-layang atau wau, jangan lupa ajak saya ya?

Friday, July 18, 2008

Guli

Hi semua!!!Hari ini saya akan menulis tentang permainan tradisional kita iaitu guli. Pernahkah bapa anda menceritakan kepada anda bagaimana beliau bermain guli? Jikalau belum, saya akan menulis tentang cara bermain guli.



Permainan guli ialah melontarkan guli dengan tepat mengenai sasarannya. Ia biasanya dimainkan oleh kanak-kanak lelaki berumur antara tujuh dan dua belas tahun. Jumlah pemain tidak melebihi lima orang. Sekarang, kanak-kanak lelaki tidak lagi bermain guli tetapi mereka bermain permainan di komputer.



Kawasan tanah rata dan lapang adalah gelanggang yang sesuai untuk tempat bermain guli. Biji guli yang digunakan untuk permainan ini adalah jenis guli yang diperbuat daripada batu kapur berwarna putih dan sebesar ibu jari kaki.



Jikalau mahu bermain guli, kita harus membuat gelanggang yang bulat di atas tanah garispusat 1m. Ditengah-tengah bulatan tersebut dilekukkan sebuah lubang sebesar 10sm lebar dan sedalam 7sm dengan menggunakan tumit kaki yang dihentakkan ke tanah. Lubang tersebut dinamakan lubang induk. Satu garisan lurus dibina dengan jarak 3m daripada garisan besar tersebut. Garisan ini adalah sebagai penanda mula tempat permainan.



Cara bermain guli iaiah setiap pemain hendaklah meleretkan biji guli masuk ke dalam lubang induk. Guli yang masuk ke dalam lubang induk atau yang terhampir masuk dikira sebagai pemain yang pertama memulakan permainan.



Pemain pertama akan menjentik gulinya kepada semua guli yang berada di dalam kawasan bulatan agar terkeluar. Sekiranya jentikan tidak mengena ia dikira mati dan pemain kedua pula yang akan menjentik guli yang ada. Jentikan ini diteruskan sehingga semua pemain selesai membuat jentikan ke atas guli pemain lain. Pemain boleh melepaskan gilirannya tetapi ia harus memasukkan guli miliknya ke dalam lubang induk. Pemain harus memastikan guli miliknya sentiasa berada berhampiran dengan lubang induk setiap kali jentikan dilakukan. Ini memudahkan mereka mengawal permainan.



Setiap pertukaran giliran kepada pemain berikutnya, pemain yang mengambil alih giliran dikehendaki memasukkan guli miliknya ke dalam lubang induk terlebih dahulu sebelum boleh menjentik guli lawan. Sekiranya guli tidak masuk ke dalam lubang induk, giliran untuk pemain lain diberikan. Kiraan mata berdasarkan banyaknya jumlah jentikan dibuat terhadap guli lawan sehingga semua pemain selesai giliran.



Permainan ini mempunyai denda terhadap pemain yang mendapat mata yang terendah. Denda yang pertama ialah pemain yang kalah akan memasukkan guli miliknya ke dalam lubang induk dan semua pemain akan memangkah guli tersebut. Denda yang kedua ialah setiap pemain menjentik sekali seorang ke atas guli yang kalah itu jauh dari kawasan bulatan.



Ini sahaja entri saya mengenai permainan guli.

Wednesday, July 16, 2008

Gasing

Dalam entri saya yang kedua dan ketiga, saya menulis tentang batu seremban dan congkak. Hari ini saya akan menulis tentang gasing. Pernahkah anda bermain gasing ataupun pernahkah bapa anda menceritakan kepada anda bagaimana caranya untuk bermain gasing?

Ada bermacam-macam jenis gasing yang terdapat di Malaysia. Antaranya ialah gasing jantung, gasing piring atau leper, gasing kelamar, gasing telur, gasing berembang, gasing Melayu, gasing Cina, gasing buku benang dan gasing pinang.

Gasing dimainkan dengan dua cara iaitu gasing pangkah dan gasing uri. Gasing pangkah dimainkan dengan melemparkannya supaya mengetuk gasing lawan. Gasing uri pula dipertandingkan untuk menguji ketahanannya berpusing.

Saya akan menulis tentang bagaimana caranya untuk bermain gasing pangkah. Gasing pangkah dimainkan secara berkumpulan. Setiap pasukan terdiri daripada dua hingga lima orang. Untuk menentukan pasukan menanti dan menangkah, peraduan uri diadakan.

Ini sahajalah keterangan saya tentang permainan gasing. Inginkah anda mencuba bermain gasing?

Pasukan yang gasingnya paling lama berpusing menjadi pasukan memangkah pertama. Permainan dimulakan dengan pasukan menanti melemparkan gasing mereka di tengah-tengah bulatan. Kemudian pasukan memangkah pula memangkah gasing mereka. Tiap-tiap gasing pasukan memangkah mesti megetuk salah satu gasing pasukan menanti. Tujuannya ialah sama ada memecahkan gasing lawan atau sekurang-kurang menjejaskan keseimbangan pergerakannya supaya cepat berhenti berpusing.

Tuesday, July 15, 2008

Congkak

Congkak. Hari ini saya akan menulis tetang permainan congkak. Sebelum itu, saya ing8in bertanya kepada anda. Anda sudah menonton cerita filem seram iaitu Congkak? Ceritanya agak seram. Banyak kali saya terkejut sebab banyak sangat sound effectnya kuat!

Baiklah,kembali kepada keterangan saya mengenai Congkak. Congkak sejenis permainan tradisional Melayu yang menggunakan papan kayu berlubang dan buahnya daripada biji congkak, biji getah, biji guli dan lain-lain.

Peralatan yang digunakan untuk bermain congkak biasanya diperbuat daripada batang pokok kayu besar yang diukir seperti perahu. Disebelah hujungnya diukir bentuk kepala pelbagai haiwan seperti burung manakala dibahagian badan papan diukir dengan pelbagai ukiran Melayu. Saiz lubang besar ataupun 'Rumah' ialah 9 sentimeter manakala saiz lubang kecil atau 'Kampung' adalah 7 sentimeter. Lubang ini ditebuk atas permukaan papan tersebut.

Lubang-lubang congkak dibuat dalam dua barisan selari antara satu sama lain yang disebut 'Kampung'. Pada penghujung kampung terdapat sebuah lubang yang besar disebut 'Rumah'. Kampung-kampung ini diisikan dengan buah congkak.

Cara bermain congkak ialah dua pemain duduk berhadapan menghadap papan congkak, dimulakan dengan kedua-dua pemain bermain secara serentak. Gerakan diteruskan hingga buah yang terakhir pada tangan dimasukkan dalam kampung kosong di kawasan sendiri ataupun di kawasan lawan. Pemain boleh menembak kampung lawan yang setentang dengan kampungnya iaitu mengaut kesemua buah di dalam kampung tersebut, sekiranya ia berhenti di kampung sendiri.

Pihak lawan mengambil giliran meneruskan permainan hingga buahnya mati. Permainan akan diteruskan sehingga permainan ini tamat. Setelah permainan ini tamat, setiap pemain mengisi semula kampung dengan buah congkak dan jika ada kampung yang tidak cukup buah, ia dianggap terbakar. Kampuang ini tidak boleh diisi apabila bermain sekali lagi. Permainan ini diteruskan sehingga pihak lawan mengaku kalah.

Ini sahaja keterangan saya mengenai permainan Congkak. Pernahkah anda mencuba bermain congkak bersama keluarga anda? Saya pernah bermain congkak bersama keluarga saya. Ia amat menyeronokkan. Setelah anda menonton filem seram 'Congkak', inginkah anda bermain congkak?

Monday, July 14, 2008

Batu Seremban

Semalam saya telah pun memberitahu anda apakah jenis permainan tradisional mealyu. Hari ini saya akan menulis tentang satu daripada permainan tradisional kita iaitu Batu Seremban. Pernahkah ibu atau nenek anda memberitahu anda bagaimana bermain batu seremban ataupun pernahkah anda bermain batu seremban?

Saya pernah bermain batu seremban ketika saya masih kecil lagi. Saya tidak ingat berapa umur saya apabila saya bermain batu seremban. Pengalaman saya bermain batu seremban? Saya tidak ingat bagaimana saya bermain batu seremban ini.

Pada masa lalu, kanak-kanak perempuan gemar bermain permainan ini secara individu ataupun secara berkumpulan seramai dua hingga empat orang. Guli kaca, biji getah, ketulan batu kerikil ketulan-ketulan objek lain berbentuk bulat biasanya digunakan kanak-kanak dalam permainan ini sebanyak lima biji. Objek-objek ini dikenali sebagai buah.

Sebelum permainan ini dimulakan, seorang demi seorang pemain harus menimbang buah untuk mendapatkan mata sebagai penentuan siapa yang akan bermain dahulu. Cara menimbang buah asalah dengan kesemua buah diletakkan di atas tapak tangan dan dilambung ke udara, kemudian hendaklah disambut pula dengan belakang tapak tangan. Jumlah buah yang dapat disambut itu dikira sebagai mata.

Dalam permainan Batu Seremban ini terdapat bebrapa peringkat atau cara sambutan buah yang berlainan. Bermula denga peringkat yang mudah dengan menggunakan sebiji buah yang dinamakan buah satu hingglah peringkat yang lebih tinggi iaitu buah tujuh.

Sekiranya buah tidak dapat disambut atau semasa mengutip buah di atas lantai, permainan ini dikira mati (permainan ditamatkan) dan permainan akan disetahkan kepada pemain seterusnya.

Ini sahajalah yang saya dapat berikan tentang permainan tradisional mealayu iaitu Batu Seremban. Setelah anda membaca keterangan saya tentang permainan ini, adakah anda semua ingin mencuba permainan ini?

Sunday, July 13, 2008

Permainan Tradisional Melayu

Hi semua nama saya Siti Nabilah daripada sekolah menengah Tampines. Permainan tradisional melayu adalah sebahagian daripada kehidupan yang dilalui nenek moyang kita. Pada masa lalu, kanak-kanak sering bermain permainan ini tidak kira lelaki mahupun perempuan. Mereka bermain permainan ini selepas mereka pulang dari sekolah ataupun pada waktu malam.

Antara permainan tradisional ialah congkak, wau, gasing, guli, batu seremban dan sepak raga ataupun dikenali sebagai sepak takraw. Hari ini, ada beberapa permainan yang masih dimainkan oleh kanak-kanak. Antaranya ialah congkak dan sepak takraw.

Saya pasti sekolah-sekolah anda pasti ada ko-kurikulum sepak takraw kan?Setelah anda menonton filem seram Congkak, adakah anda berani untuk bermain congkak bersama keluarga atau kawan-kawan anda??