Chapteh
Chapteh sering dimainkan di luar rumah oleh kanak-kanak lelaki seramai dua atau lebih. Jika terdapat ramai yang bermain, beberapa orang pemain boleh dibentuk menjadi satu kumpulan. Permainan ini adalah seperti permainan sepak raga, tetapi bola yang digunakan adalah dari bulu ayam yang telah dibentuk seperti sejambak bunga.
Beberapa bahan asas diperlukan bagi membuat bola chapteh ini. Beberapa helai bulu ayam yang terdapat pada ekor atau kepak ayam (tidak kurang dari tiga helai). Sebatang paku sederhana besar, kepingan tiub tayar yang telah dibentuk bulat berukuran antara 4sm. garispusat dan getah skrap atau getah gelang sebagai pengikat.
Beberapa keping getah tiub yang telah dibentuk bulat hendaklah dicucuk paku menembusi ditengah-tengahnya. Lima helai bulu ayam sama panjang dilekatkan disekeliling paku tadi dan diikat dengan getah sekrap atau getah gelang dengan kemas. Jika untuk mendapatkan kekemasan bola tersebut sejenis gam yang kuat boleh digunakan sebelum ikatan dibuat.
Sebelum permainan dimulakan, undian dijalankan terlebih dahulu bagi menentukan giliran. Undian secara lai lai li tam plong untuk semua pemain bagi menentukan siapa yang perlu memulakan terlebih dahulu mengikut gilirannya. Penentuan mata samada jumlah timbangan terbanyak atau penetapan jumlah mata tertentu juga harus dipersetujui terlebih dahulu.
Pemain disyaratkan menimbang bola chapteh tersebut dengan menggunakan tepi tumit kaki sahaja atau juga dengan lutut. Sepakan tidak dibenarkan. Jika dilakukan oleh pemain, ia dikira mati dan giliran pemain seterusnya mengambil alih pula. Permainan juga dikira mati sekiranya bola jatuh ke tanah.
Mata dikira dengan cara pemain menimbang bola tanpa henti atau mati dengan seberapa banyak timbangan yang dapat dilakukan. Pemain yang mendapat mata terendah jumlah timbangan dikira kalah, dan ia akan dikenakan denda. Pemain yang kalah dikehendaki melambungkan bola kepada pemenang, dan pemenang pula mestilah menimbang bola sebanyak tiga kali. Sekiranya pemenang gagal berbuat demikian, maka denda terhadap pemain yang kalah akan dikira tamat.
Pusingan seterusnya boleh dilakukan beberapa kali, pemain yang memenangi disetiap pusingan atau jumlah kemenangan banyak kali dan melebihi dari yang lainnya dikira juara.
Anda sudah pun tahu bagaimana mahu membuat chapteh dan bermainnya. Inginkah anda mencuba bermain chapteh bersama rakan-rakan anda?